Monday, January 5, 2009

Kehidupan Baru


Hari ini persekolahan bermula bagi negeri-negeri yang cuti umumnya pada hari Ahad. Ada yang baru bermula alam persekolahan darjah 1. Sudah tentu ramai ibu bapa yang bertungkus lumus menyiapkan segala peralatan untuk anak-anak ke sekolah. Selain itu, ibu bapa juga bertungkus lumus menyediakan duit sebanyak mungkin untuk pembiayaan persekolahan anak-anak mereka. Maisara anak kepada rakan juga telah memulakan persekolahan darjah 1 pada tahun ini. Dah pergi sekolah dah budak ini. Mesti kakaknya Fatin sibuk menjaga adiknya disekolah. Maklumlah, kanak-kanak seperti Maisara yang baru belajar erti hidup sudah tentu mempunyai kerenah, kerana anak kecil ini baru sahaja belajar mengenai alam persekolahan. Diharap pada masa hadapan Maisara dan Fatin akan mengikuti jejak langkah kakaknya Farrah yang mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR dan seterusnya berjaya menjadi orang yang berguna. Tahniah kepada Farrah, semoga kecemerlangannya berterusan hingga menjadi seorang yang berjaya dalam hidup.

Seperti juga Maisara, Farrah dan juga Fatin, kita juga sudah tentu mempunyai pengalaman semasa memasuki alam persekolahan. Macam-macam perangai dan kerenah manusia ada di dalam kelas. Ada yang akan menangis apabila tidak nampak kelibat ibu bapa di dalam kelas, ada yang muram kerana ditinggalkan ibu bapa di dalam kelas dan ada juga yang gembira berjumpa dengan rakan-rakan baru. Mungkin kerana ayahku yang garang, aku hanya bersikap biasa sahaja apabila memasuki alam persekolahan. Aku gembira kerana berjumpa rakan-baru dan melihat kerenah mereka. Ada diantara rakan-rakanku pada yang ayahnya terpaksa menunggu selama sebulan kerana anaknya akan menangis ditinggalkan. Begitulah pengorbanan seorang ayah.


Sebelum memasuki alam persekolahan, ibu bapa sibuk menyiapkan kelengkapan yang mana kelengkapan ini perlu disediakan dengan wang. Wang akan digunakan untuk membeli pakaian sekolah yang baru, kelengkapan sekolah seperti beg dan alat tulis, kasut dan stokin, yuran persekolahan, yuran bas sekolah dan sebagainya. Wang yang digunakan bukanlah turun dengan sendiri dari langit atau dipetik dari pokok. Wang ini adalah upah hasil dari titik peluh ibu bapa yang bersungguh-sungguh mencari rezeki menyara keluarga dan alam persekolahan anak-anak. Keikhlasan ibu bapa dalam menunaikan tanggungjawab untuk memberi pendidikan yang sepenuhnya kepada kita, terserlah apabila kita diberi pilihan untuk memilih sendiri jenama pakaian, kasut dan kelengkapan persekolahan kita. Ada yang memilih dengan harga yang berpatutan dan ada yang memilih jenama terkenal yang mahal harganya untuk ditunjukkan kepada rakan. Ibu bapa tidak sedikitpun membantah pilihan kita dan membayarnya dengan tersenyum walaupun ada ketikanya terasa kelat didalam hati kerana pilihan anak terlalu mahal buat dirinya. Adakah kita terpikir tentang pengorbanan itu dan adakah kita telah membalas jasa-jasa ibubapa kita?


Pada masa sekarang, kita telah mempunyai pekerjaan tetap dan mampu untuk menyara hidup kita sendiri. Ada yang telah berkeluarga dan mempunyai anak yang mungkin telah bersekolah atau baru memulakan persekolahan. Bagi mereka yang telah mempunyai anak yang telah bersekolah, mereka tentu paham keadaan yang pernah dilalui oleh ibu bapa kita suatu waktu dahulu. Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa kita untuk menjadikan kita orang yang berguna pada masa kini, tetapi adakah kita membalasnya pada masa kini, atau kita hanya mengingati ibu bapa pada masa susah atau pada masa hari raya?. Ibu bapa tidak meminta untuk dibalas segala pengorbanannya ketika dulu, tetapi sebagai seorang anak kita harus paham tanggungjawab kita kepada ibu bapa kita. Kita sepatutnya melihat keadaan ibu bapa kita sama ada makan pakainya terbela sepertimana dia menjaga makan pakai kita suatu waktu dahulu. Dia tidak meminta tetapi kita harus paham. Adakah kita bersedia untuk membayar satu ringgit sehari selama mana dia menjaga kita waktu dahulu sama ada 18 tahun atau sehingga kita keluar dari pusat pengajian tinggi? adakah kita mampu membayarnya? atau kita tidak kisah dan cuma menyesal apabila ibu bapa kita telah tiada? bagi mereka yang ibu bapanya telah tiada, berapa kerapkah kita berdoa untuknya atau sekurang-kurangnya membacakan Surah Al-Fatihah untuk mereka? Hanya kita sendiri yang mempunyai jawapannya.........

No comments:

Post a Comment